CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, 26 August 2011

CIKGU berkasut kain putih

Pagi itu hari Selasa, untuk sesi kelas pertama, Cikgu Bahar berjalan masuk dengan berwajah muram. Murid-murid Tingkatan 4 Kelisa bangun memberi salam. Mereka pelik melihat wajah Cikgu Bahar yang muram. Tidak pernah sebelum ini mereka melihat wajah Cikgu Bahar begitu.
   Selepas memberi salam, mereka memandang sesama sendiri sambil menjeling-jeling ke arah kasut Cikgu Bahar. Ye! Cikgu Bahar pakai kasut kain putih, macam kasut untuk murid sekolah! Tetapi oleh kerana Cikgu Bahar terkenal sebagai seorang guru yang garang, jadi tiadalah mereka mengeluarkan apa-apa suara, sekadar menunjuk menggunakan muncung bibir sahaja.
   Seperti biasa, Cikgu Bahar mengajar dengan tenang walaupun sesekali melihat-lihat akan kasutnya yang unik. Dia tahu murid-muridnya juga mesti tertanya-tanya kenapa dia berkasut begitu.
   Dalam masa yang sama, dua orang murid, Salim dan Rosdan memandang sesama sendiri sambil tersenyum puas. Kedua-duanya teringat semula apa yang berlaku tengah malam tadi. Merekalah yang secara bersembunyi telah mencuri kasut kulit Cikgu Bahar di rumahnya.
   Mereka buat begitu bukanlah kerana ingin menjual kasut tersebut. Mereka hendak membalas dendam di atas pemberian 'hadiah' rotan Cikgu Bahar pada hari semalam kerana bermain sehingga patah sebuah kerusi kelas dengan sengaja.
   Tiba-tiba Cikgu Bahar berkata, "Dah tiba masanya untuk saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pencuri kasut saya. Syabas kerana kebijaksanaan kamu, saya tidak perlu bersusah payah meminta James Bond untuk menyiasat."
   Cikgu Bahar membuka kasut kain putih yang dipakainya. Diangkat tinggi sambil menunjukkan tulisan yang terdapat dalam kasut. Ia tertulis, 'SALIM 4 KELISA'. Rupa-rupanya Salim meninggalkan kasutnya di tempat kasut Cikgu Bahar yang dicurinya!
    Rosdan memandang Salim sambil berkata perlahan, "Apahal kau pandai sangat tinggalkan kasut sekolah kau? Lain kali tinggalkan mak ayah engkau sekali kat situ! Aduh...parah!"
   Bagi kita yang membaca, hindarkan perasaan dendam dari dalam jiwa kita dan akuilah kalau melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan melakukan perkara yang sama. Ikhlas dalam membuat janji jika tidak mahu dikaitkan dengan munafik. 


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...